Bayi 5.35kg pecah rekod
Oleh Mohd Firdaus
29/10/08 (Rabu)
KOTA TINGGI: Seorang bayi perempuan seberat 5.35 kilogram (kg) selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Sabtu lalu, rekod baru buat HSA mengatasi rekod 4.95 kg. Noor Izzah Fikriyah Ayuni (Fikriyah) yang selamat dilahirkan kira-kira jam 6 petang menerusi kaedah caesarian (pembedahan) itu juga dilaporkan lebih tinggi dengan ukuran 41.63 sentimeter (sm) berbanding saiz normal bayi, kira-kira 35 sm. Bagaimanapun, anak ketiga pasangan Mohd Rasul Ridzuwan, 36, dan Khalilah Idris, 32, itu bukan bayi terbesar yang pernah dilahirkan di negara ini. Mengikut rekod Malaysia Book of Records, bayi terberat yang pernah dilahirkan mencecah hampir sembilan kg, di Bangi, kira-kira empat tahun lalu.
Mohd Rasul yang ditemui di rumahnya di Taman Kota Jaya, di sini, semalam, bersyukur kedua-dua isteri dan anaknya selamat serta berharap Fikriyah akan terus membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain. "Pelbagai dugaan dihadapi isteri saya ketika mengandungkan Fikriyah, antaranya mengalami kemalangan kecil sebanyak tiga kali. "Pada mulanya, saya menganggap kemalangan kecil ini mungkin satu musibah atau malapetaka. Bagaimanapun, kemalangan kecil itu mungkin petanda kelahiran Fikriyah yang mempunyai berat mengagumkan orang ramai," katanya.
Ahli perniagaan itu berkata, keadaan bayi yang besar serta beralih dari posisi asal menyebabkan isterinya yang dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT), Khamis minggu lalu terpaksa diarahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan sebelum berpindah ke HSA. Sementara itu, Khalilah berkata, pengalaman mengandung dan melahirkan anak secara pembedahan itu akan menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan. "Pengalaman melahirkan Fikriyah secara pembedahan amat menyakitkan. Ia berbeza dengan kelahiran anak pertama, Noor Izzah Fatiha, 9, dan anak kedua, Noor Izzah Shafiqah, 6. Malah, sepanjang mengandung, saya juga sering menangis kerana kesakitan setiap kali Fikriyah aktif dalam kandungan. "Selain itu, sebelum kelahiran Fikriyah, saya mengalami bengkak kaki. Doktor ada menjalankan ujian darah dan menjangkakan saya menghidap penyakit kencing manis. Bagaimanapun, menurut ibu, Salamah Tamin, 59, ia hanya pembawaan anak," katanya.
Katanya, tiada perkara pelik yang berlaku sepanjang beliau mengandungkan anak perempuannya itu kecuali mengidam makan telur pindang, nasi dalam dulang dan bubur lambuk serta kerap makan limau