Sudah tentu anda akan mengalami perubahan sedikit demi sedikit sehinggalah kepada waktu kelahiran. Ianya berkaitan dengan tubuh anda yang akan berubah seperti berat badan, saiz badan, dan juga perubahan fizikal yang lain. Dengan itu, adalah lebih baik sekiranya anda bersedia dengan pakaian mengandung ketika perut makin membesar, kasut atau selipar yang rendah atau tidak bertumit untuk keselesaan dan kandungan, coli dan juga pakaian dalam yang amat perlu dititik beratkan.
Untuk mengelakkan dari keletihan atau kelesuan semasa hamil lakukanlah senaman ringan. Perlu diingatkan bahawa bahagian tubuh yang membesar juga akan mengalami regangan di mana untuk mengelakkannya daripada terlalu teruk atau meninggalkan parut, sapukan minyak Johnson atau minyak zaitun di bahagian perut dan bahagian-bahagian yang mengalami regangan sejak dari bulan ketiga hamil. Insyaallah kulit anda tidak akan meninggalkan parut atau pun terlalu banyak kesan regangan.
Di samping itu, jagalah kebersihan diri untuk mengelakkan dari jangkitan-jangkitan yang tidak diingini kerana wanita hamil biasanya sensitif. Ada yang akan mengalami keputihan dan kesan-kesan sampingan yang akan kita bincangkan nanti. Mandilah lebih kerap begitu juga menukar pakaian selepas mandi. Ikutlah nasihat doktor dan jangan lupa untuk mengambil vitamin yang diberi oleh doktor. Sentiasa merujuk doktor tentang ubat yang tidak boleh diambil oleh wanita hamil. Ini amat penting kerana ia boleh memberi kesan kepada diri kita dan juga kandungan.
Untuk tiga (3) bulan pertama, jagalah kandungan anda sebaik-baiknya kerana ketika ini, kandungan masih tidak kuat. Elakkan dari mengangkat benda-benda berat dan juga elakkan dari makan makanan yang tajam seperti nenas, tapai dan ikan berbisa.











