Tuesday, December 30, 2008

bayi nyaris dirempuh

KOTA BHARU: Seorang bayi berusia 17 bulan nyaris dirempuh kereta yang terbabas dan merempuh kedai kopi neneknya di Batu 8, Kampung Kadok, dekat sini, pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kereta Proton Saga yang dinaiki empat lelaki tiba-tiba hilang kawalan merempuh meja makan dan berhenti di depan bayi berkenaan yang ketika itu duduk di lantai. Kereta yang dipercayai dipandu laju itu turut merempuh sebuah motosikal dan penahan konkrit di depan kedai kopi terbabit. Bagaimanapun lima pelanggan yang sedang menjamu selera tidak terkena rempuhan itu.
Ketika kejadian, bayi berkenaan, Mohd Fakri Mohd Faudzi, sedang bermain, manakala ibunya, Nor Aini Mohamed, 40, sibuk membersihkan meja di kedai kopi milik ibunya, Che Bidah Mohamad, 75. Nor Aini berkata, beliau terdengar bunyi brek dan tiba-tiba sebuah kereta memasuki kedai kopi terbabit tetapi berhenti selepas melanggar tiang konkrit dan meja pelanggan yang kosong di dalam kedai. "Saya melihat kereta itu berhenti di depan Mohd Fakri dan tayar depannya hanya beberapa inci dari muka anak saya," katanya di tempat kejadian, semalam.
Suami Nor Aini, Mohd Faudzi Yakub, 47, berkata beliau kini bingung memikirkan kedai yang diusahakan bersama isteri dan mentuanya lebih 30 tahun itu rosak teruk dan mereka sekeluarga mungkin hilang mata pencarian.