Thursday, November 6, 2008

wanita tak reti pakai coli???

Sembilan daripada sepuluh wanita mengenakan baju dalam tidak sesuai saiz KAJIAN dilakukan terhadap wanita di seluruh dunia mendapati 80 peratus daripada mereka tidak memahami kepentingan pakaian dalam, gaya dan saiz sesuai untuk payudara. Lebih memeranjatkan, sembilan daripada sepuluh wanita mengenakan coli tidak sesuai saiz sendiri manakala 60 peratus tidak menepati kehendak dan keperluan badan serta payudara ketika memakai coli.
Memahami pentingnya memilih coli yang sepadan, Pengurus Pemasaran Bahagian Pembelian dan Pembangunan Avon Cosmetics, Hanim Sharom memberikan beberapa tip dan panduan mudah untuk wanita ketika memilih pakaian dalam supaya kesilapan kecil yang dilakukan tidak menjejaskan kesihatan mereka. "Wanita mengalami perubahan fasa di dalam hidup sehingga mengubah perkembangan biologi antaranya perubahan berat badan, proses kehamilan dan ketika haid," katanya. Pada peringkat awal perkembangan biologi tubuh wanita, payudara kecil dan tidak kelihatan. Di usia sekitar 10 tahun, lapisan lemak di bawah epidermis masih lagi tidak terlalu tebal manakala ketika mencapai tahap matang, berlaku perkembangan optimum tubuh wanita dan ketika ini pertumbuhan payudara mulai matang.
Bagaimanapun, selepas usia 35 tahun, pertumbuhan lemak di bahagian bawah epidermis telah sempurna dan menyebabkan bentuk payudara mulai berubah dan mengendur. Hanim berkata, pemilihan padanan coli yang sesuai saiz payudara dapat membantu memberikan ilusi tubuh lebih ramping, sempurna serta kelihatan tambah menarik. "Adalah penting bagi wanita untuk mengenal rupa bentuk dan posisi payudara mereka sama berbentuk bulat, pendulous (jatuh) atau pun kecil atau di dalam posisi normal, jauh juga dekat," katanya. Bagi mengenal pasti kiraan tepat untuk jenis payudara, gunakan teknik tiga segi. Jadikan titik puting dan tulang dada sebagai penanda.
Payudara normal adalah untuk ukuran sama antara tiga titik penanda, ukuran rapat jika jarak antara dua titik puting dekat manakala ukuran jauh jika titik yang sama mempunyai jarak yang lebih panjang berbanding jarak antara titik puting dan tulang dada. "Selepas anda mulai mengenal payudara sendiri, mulakan memilih coli sesuai supaya payudara yang besar tidak terlihat terlalu menonjol manakala pemilik payudara kecil tetap kelihatan feminin. "Contohnya wanita yang memiliki payudara bulat padat, kenakan coli potongan klasik bercawan penuh untuk mengelakkan kesan jangka panjang ketika proses pengenduran.