Thursday, November 20, 2008

Bayi sakit jantung

Sentral: Bayi sakit jantung perlu pemeriksaan setiap bulan
Oleh Nur Fadzmin Alias
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang bayi yang menghidap penyakit jantung 'Total Anomalous Pulmonary Venous' (TAPVD), Suhayll Adzzaeem Suhaimi, 11 bulan, yang selamat menjalani pembedahan pada 3 November lalu, kini berada dalam keadaan sihat. Ibunya, Adzleen Junaira Mohd Nasir, berkata bagaimanapun, setiap bulan Suhayll perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan di hospital kerana kemungkinan penyakit itu akan berulang tanpa disedari. “Selepas pembedahan doktor menasihatkan Suhayll diperiksa dalam tempoh sebulan sekali dan dari semasa ke semasa barulah dikurangkan kepada enam bulan sekali.
“Saya bersyukur pembedahan ini selamat dan berharap anak sihat dan aktif seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian cek di Balai Berita, di sini, kelmarin. Pada majlis itu, Kelab D’Fortune iaitu sebuah kelab rekreasi dari Sunway menyampaikan cek bernilai RM13,000 kepada Adzleen sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap kebajikan masyarakat khususnya kepada kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit kronik. Pengurus Kelab D’Fortune, Woo Min Oon, 40, berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa sekiranya ada kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan dan memperuntukkan sejumlah wang untuk disumbangkan.
“Kami sentiasa prihatin dengan masalah orang ramai khususnya berkaitan kanak-kanak yang memerlukan pembedahan segera kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini. “Jadi kita harap dengan sumbangan ini ia dapat membantu menampung kos pembayaran pembedahan yang sudah dibuat baru-baru ini,” katanya.